Jurulatih POPULAR skuad kebangsaan, Datuk K.Rajagobal mungkin mempunyai alasan mengapa dia menyisihkan khidmat beberapa pemain utama ketika mengumumkan senarai 26 pemain yang dipanggil menjalani latihan pusat menjelang aksi persahabatan menentang Australia di Canbera, bulan depan.
Ini termasuklah khidmat dua pemain tonggak Selangor, Amirulhadi Zainal dan kapten berpengaruh, Safiq Rahim, yang mana disifatkannya TIDAK BERADA DI TAHAP TERBAIK? Alasan apakah ini? Adakah betul Rajagobal seorang jurulatih yang memilih pemain berdasarkan tahap terbaik seseorang pemain itu? Kalau betul, maka ia pastinya disambut penuh kejutan peminat bolasepak tanah air.
Takkan hanya kerana Safiq direhatkan jurulatih Selangor, K.Devan, dia terus dikatakan tidak berada di tahap terbaik?
Kalau itulah alasan Rajagobal yang serba ‘PANDAI’ menilai potensi pemain, atau jika dalam Football Manager disebut JUDGING PLAYER POTENTIAL, apa pula alasan Rajagobal mengugurkan Shakir Shaari dan S.Chanturu dari Kelantan? Bukankah Shakir layak diangkat antara defensive midfield terbaik Liga Malaysia berbanding pemain kesayangan a.k.a anak emasnya, Amar Rohidan yang nyata tidak mempamer sentuhan konsisten bersama Kedah? Bukankah Chanturu adalah pemain wajib dalam kesebelasan utama Datuk M.Karathu?
Bagaimana pula dengan Ashaari Shamsudin yang menjadi tonggak Terengganu dalam saingan Piala Malaysia yang sedang berlangsung ketika ini - apakah aksi K.Rubben (UKM) dan Shahrizal Saad (Johor Fc) lebih hebat dan mencuri tumpuan, malah lebih layak untuk diberi tempat dalam pasukan tatkala Ashaari dan Shakir berterusan dinafikan tempat dalam pasukan?
Laporan sebuah akhbar tempatan menyebut tindakan Rajagobal ini menangkis dakwaan bahawa dia mengamalkan sikap pilih kasih dalam pasukan, tetapi pemain yang digugurkan hanyalah pemain yang sebelum ini kerap memanaskan bangku simpanan – Shakir, Ashaari, Rizal Fahmi, Helmi Remeli, dan Azmi Muslim, manakala pemain seperti Asrarudin Putra Omar dan Amar masih terjamin tempat mereka dalam pasukan – justeru adakah betul alasan diberi Rajagobal bahawa beliau memilih pemain berdasarkan prestasi semasa seseorang pemain?
Kenapa tidak peluang yang ada untuk beraksi menentang salah sebuah pasukan terkuat Asia ini, dimanfaatkan Rajagobal untuk menguji pemain yang sebelum ini biasa menjadi pemain simpanan, kenapa memilih untuk mengugurkan mereka tanpa alasan munasabah – alasan diberi Rajagobal nyata tidak boleh diterima pakai dan beliau perlu lebih relevan dalam pemilihan pemain, bukan terus mengamalkan corak pemilihan lapuk seperti sebelum ini.
SS : Tepuk dada tanya selera, jangan persiakan bakat yang ada kerana ego anda wahai King Gobal.
No comments:
Post a Comment